KENALI DEMAM DENGGI


APA ITU DEMAM DENGGI

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

Terdapat empat (4) jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).

Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.

Lebih 100 negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Timur Mediterranean dan Pasifik Barat mengalami masalah denggi.


DEMAM DENGGI BERDARAH

Merupakan demam denggi yang teruk disebabkan oleh jangkitan virus denggi.


Kebiasaan tanda sakit adalah sama dengan demam denggi. Pesakit akan menjadi teruk disebabkan oleh radangan di salur darah. Tanda-tanda yang biasa termasuklah muntah, pitam dan sakit di bahagian abdomen.

Salur darah di dalam badan boleh mengalami kebocoran dan menyebabkan isi padu darah berkurangan. Ini boleh menyebabkan pesakit mengalami renjatan (shock) dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Tiada ubat-ubatan yang khusus untuk merawat demam denggi. Pesakit perlu dimasukkan ke wad bagi rawatan demam denggi berdarah. Rawatan awal boleh mengelakkan kematian dengan kadar kurang daripada 1%. Pesakit akan diberikan rehidrasi untuk memastikan beliau tidak mengalami renjatan.

Walaupun nama penyakit ini demam denggi berdarah, masalah yang membawa kemudaratan adalah masalah kebocoran salur darah yang menyebabkan renjatan dan bukan pendarahan yang menjadi masalah utama.